Penyelamat cari laluan rahsia

in Global by


CHIANG RAI – THAILAND. Operasi menyelamat 12 remaja yang juga pemain bola sepak Thailand dan jurulatih mereka yang berjaya ditemui selepas sembilan hari terperangkap dalam sebuah gua di Chiang Rai, masih belum berakhir.


Laluan gua yang sempit dan dibanjiri air serta dipenuhi lengkok berbahaya, dengan hampir tiada jarak penglihatan adalah cabaran terbesar pasukan penyelamat bagi mengeluarkan kesemua 13 mangsa.


Operasi mengepam air keluar dari gua Tham Luang Nang Non dilakukan selama 24 jam namun ia menemui kesukaran berikutan hujan lebat berterusan.


Faktor waktu yang semakin menekan membuatkan penyelamat terpaksa mengajar kesemua mangsa bagaimana bernafas dengan peralatan menyelam dalam usaha untuk keluar dari gua itu semalam.


Bagaimanapun, pakar penyelam memberi amaran, misi itu amat berbahaya, kerana tiada seorang pun remaja berkenaan boleh berenang atau pernah menggunakan peralatan menyelam dan laluan sempit gua amat berbahaya walaupun buat penyelam berpengalaman.


Ini terutamanya, laluan sempit yang dinaiki air setinggi 750 meter, di mana penyelam gua berpengalaman mengambil masa sekitar tiga jam untuk mengemudinya.


Terkini, pasukan menyelamat mencari jika terdapat cerobong atau lubang yang boleh dimasuki berbanding cuba membawa mangsa keluar menggunakan laluan air.


Pilihan paling selamat adalah mengeringkan air dalam gua bagi membolehkan mangsa merangkak sepanjang empat kilometer untuk keluar, namun, menurut pihak berkuasa, pilihan paling realistik adalah mengajar kanak-kanak itu menyelam berikutan ramalan hujan dan ribut yang bakal melanda minggu ini.


Kesemua mangsa terpaksa berada lebih lama di dalam gua ketika pasukan penyelamat mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi mengeluarkan mereka dengan selamat, satu proses yang mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan. -Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]