Tabung #FreeNajib untuk kumpul dana

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Sekretariat Solidariti Najib Razak hari ini melancarkan Tabung #FreeNajib yang bertujuan mengumpulkan dana sebanyak RM500,000 bagi membayar baki wang ikat jamin dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Pelancaran tabung itu dibuat di hadapan kediaman Najib, di Jalan Langgak Duta di sini, kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tabung itu dilancarkan berikutan akaun perbankan milik Najib sudah dibekukan ekoran siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Menurutnya, beliau merasakan adalah amat sukar untuk melengkapkan bayaran RM1 juta dalam tempoh beberapa hari seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.


“Kami sebagai ahli Umno dan rakyat Malaysia ingin menyumbang kepada Najib agar beliau tidak terbeban dengan bayaran baki RM500,000. Tabung akan dibuka sehingga jam 12 tengah hari Isnin depan sebelum menyerahkan jumlah terkumpul bagi membayar jaminan bagi pihak Najib.


“Ramai yang telefon saya untuk membantu dan ada yang telah menderma RM2, RM3 sebelum dimasukkan akaun. Alhamdulillah, ramai ahli Umno dan rakyat kasihan dengan Najib dan mahu membantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Najib di kediamannya.


[ ARTIKEL BERKAITAN : Anak Najib selesai bayar jamin]


[ ARTIKEL BERKAITAN : Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes rasuah]


Razlan berkata, setakat ini, pihaknya sudah berjaya mengumpul sebanyak RM11,000 dan berharap dapat mengumpul RM500,000 sebelum tarikh akhir pembayaran ikat jamin diperintah mahkamah.


Mengulas tentang reaksi Najib berhubung pelancaran tabung ini, Mohd Razlan berkata, Najib amat terharu.


“Beliau (Najib) tidak perlu risau dan rasa bersalah, ini adalah tanda sokongan rakyat,” katanya.


Menurut Razlan, sumbangan boleh dilakukan menerusi akaun CIMB Bank milik Kelab Belia Berkhidmat bernombor 8601952060.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]