Tarikh perbicaraan Najib belum ditetapkan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara mengesahkan tarikh perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan ditentukan selepas sebutan semula kes tersebut pada 8 Ogos nanti di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Dalam kenyataan dikeluarkan jabatan itu, hari ini, tarikh perbicaraan melibatkan kes kolar putih berprofil tinggi itu memerlukan pihak Pendakwaraya menyediakan banyak dokumen dan agak  mustahil tarikh perbicaraan boleh ditetapkan pada hari sama tertuduh didakwa.


Menurut kenyataan itu lagi, Pendakwaraya bercadang untuk memohon tarikh perbicaraan kes melibatkan Najib dan SRC International Sdn Bhd itu ditetapkan pada November tahun ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Najib dijangka hadapi lebih 10 pertuduhan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes rasuah]


“Mahkamah Tinggi masih belum menetapkan tarikh perbicaraan, hanya mencadangkan tarikh difikirkan sesuai untuk bicara kes tersebut. Mahkamah Tinggi juga menegaskan tarikh bicara hanya akan ditentukan selepas sebutan semula pada 8 Ogos 2018.


“Untuk kes kolar putih seperti ini, tarikh perbicaraan agak jarang ditetapkan pada hari yang sama tertuduh didakwa. Pendakwaraya juga belum dapat menyediakan dokumen berkaitan apabila tertuduh buat pertama kalinya tampil ke mahkamah.


“Dokumen-dokumen berkaitan akan diserahkan kepada Peguam Bela sebelum perbicaraan dimulakan,” menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Pendakwaraya akan terus membantah permohonan ‘gag order’ yang dikemukakan Peguam Bela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]