3,390 beg baja SBPKP bernilai lebih RM180 ribu dirampas

in Nasional by


SHAH ALAM – Sejumlah 3,390 beg berisi baja yang dianggarkan bernilai RM180,534.60 dirampas dalam satu serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Muar, Johor, hari ini.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berkata, hasil serbuan tersebut mendapati bahawa terdapat baja disimpan di gudang yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan barangan kawalan.


Menurutnya, baja yang dirampas telah disahkan sebagai baja yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui kontrak kerajaan iaitu di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).


“Keseluruhan baja yang dirampas telah dibuat pengecaman oleh pihak Nafas dan disahkan ianya adalah baja di bawah SBPKP.


“Baja-baja tersebut dibiayai oleh peruntukan Kerajaan Persekutuan dan dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, hasil serbuan juga berjaya menahan seorang anak pemilik kilang tersebut.


“Suspek akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000. Kilang tersebut mempunyai empat pekerja, namun, pekerja-pekerja tidak ditangkap dan hanya keterangan mereka yang diambil,” katanya.


Selain itu katanya, barang rampasan (baja) ini adalah bahan bukti hasil operasi dan akan dipindahkan ke suatu lokasi simpanan yang dikawal oleh pihak keselamatan.


“MOA turut bekerjasama dengan pihak SPRM dan KPDNKK bagi memastikan ketirisan bantuan subsidi dapat dihapuskan. Kementerian akan terus membanteras kegiatan yang tidak bermaruah ini dan mengembalikan hak baja ini kepada pesawah padi,” katanya.


Pada masa sama, MOA difahamkan pihak penguatkuasaan telah menjalankan intipan kegiatan ini selama empat bulan.


“Siasatan lanjut seterusnya akan dijalankan bagi memastikan siapa yang terlibat dalam kegiatan penjualan baja dari peruntukan kerajaan di pasaran gelap. Makluman mengenainya akan dikeluarkan sebaik sahaja siasatan ini selesai kelak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]