Amaran Mohd Razlan hanya ‘tin kosong’: Amar Singh

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pengarah Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menyifatkan amaran terhadapnya supaya menutup mulut daripada mengeluarkan kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘tin kosong’.


Amar Singh berkata, kenyataan atau sidang media yang beliau lakukan sebelum ini adalah berkaitan dengan 1MDB.


Malah katanya, pertuduhan yang dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berkaitan dana SRC International Sdn Bhd dan bukannya 1MDB.


[ARTIKEL BERKAITAN : Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes rasuah]


Katanya, beliau tidak mahu membazir masa dan memberi perhatian kepada kenyataan Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang memberi amaran supaya beliau berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB.


“Pada masa ini, kes yang dijalankan di mahkamah adalah berkait dengan dana SRC International Sdn Bhd dan bukannya 1MDB.


“Beliau (Mohd Razlan) boleh berkata apa sahaja, selagi tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang negara ini,” katanya pada NSTP, hari ini.


Semalam Mohd Razlan Muhammad Rafii memberi amaran kepada Amar Singh Ishar Singh agar berhenti membicarakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mendakwa mahkamah telah mengeluarkan arahan agar isu ini tidak dibicarakan di luar mahkamah sebelum perbicaraan.


Katanya, biar mahkamah tentukan dahulu sama ada Najib bersalah atau tidak.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]