BTN: Rakyat harus bersikap terbuka

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Masih terdapat banyak ruang untuk dibahaskan secara sihat mengenai keputusan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) kekalkan institusi Biro Tatanegara (BTN) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.


Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Mahdzir Ibrahim berkata, beliau sedar isu berkaitan keputusan kerajaan itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak khususnya ahli-ahli Harapan sehingga mendakwa adalah bercanggah dengan janji pakatan itu ketika PRU14.


“Selain itu, ada juga berpandangan kekalkan BTN adalah langkah silap atas hujah BTN ini membiakkan sentimen perkauman khusus bagi pelajar baik sekolah menengah hingga universiti.


“Bagi saya hujah ini masih banyak ruang untuk dibahas secara sihat dan semua harus bersikap terbuka.


“Hujah mendakwa pengekalan BTN ini sebagai bercanggah dengan manifesto Harapan, saya rasakan tidaklah begitu kukuh berdasarkan senario ketika Harapan belum lagi menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.


Beliau percaya ketika itu, mana-mana parti sanggup tawar apa jua pakej bagi menang sokongan dan undi.


“Semua tahu, Harapan dan BN dalam keadaan sangat terdesak ketika PRU14. Mahu tidak mahu Harapan termasuk BN perlu tawarkan sesuatu yang luar biasa antaranya Harapan memansuhkan agensi menjadi alat parti politik seperti BTN apabila menjadi kerajaan.


“Justeru, saya berpendapat bukan keputusan mengekalkan BTN ini yang harus dipersoalkan, tetapi keputusan memasukkan pemansuhan BTN dalam manifesto ketika itu yang harus dipersoalkan kembali.


“Kita harus bertanya, siapa yang mencadangkan perkara ini suatu manifesto itu dihasilkan?,” soalnya.


Mahdzir berkata, dalam isu BTN, beliau percaya seburuk mana pun rekod BTN ketika di bawah pentadbiran terdahulu, agensi tersebut tidak bersalah, sebaliknya pelaksananya.


Beliau merasakan isu sebenarnya bukan kekal atau bubar BTN, tetapi sejauh manakah kerajaan Harapan mampu mereformasikan semua agensi kerajaan menjadi sebuah agensi yang telus, berintegriti dan profesional.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]