Isu parkir belum selesai:Fort Pin

in Edisi by


JASIN – Penduduk dan pengguna setempat meminta pihak berwajib untuk mengambil perhatian mengenai masalah parkir di hadapan Maybank, di sini.


Adun Bemban, Dr Wong Fort Pin berkata, permasalahan tersebut telah pun dibincangkan beberapa kali bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.


Menurutnya, menerusi perbincangan dijalankan pihaknya meminta agensi terlibat supaya sepakat membuka kembali lot parkir kepada orang ramai di hadapan Maybank berkenaan.


“Kita akan membuka salah satu garisan kuning terutamanya di hadapan Maybank tersebut supaya lebih banyak parkir boleh digunakan, sekali gus memudahkan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.


Fort Pin berkata, lebih merisaukan apabila masyarakat di sini bimbang untuk mengeluarkan wang berikutan terpaksa meletakkan kenderaan mereka agak jauh dari kawasan bank.


“Risiko untuk dirompak, diragut dan sebagainya merisaukan mereka.


“Saya harap inisiatif diambil ini dapat mengurangkan rasa bimbang tersebut,” katanya.


Pada masa sama, beliau meminta bantuan pihak polis untuk bersedia atau mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan khususnya pada waktu-waktu puncak.


“Ini akan menyelesaikan masalah ketakutan masyarakat di sini dengan kejadian-kejadian kecurian dan sebagainya.


“Diharapkan semuanya berjalan lancar dan usaha untuk menyelesaikan masalah ini dapat dilakukan segera,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan melibatkan Jabatan Majlis Perbandaran Jasin, Jabatan Polis Daerah Jasin, Jabatan Kerja Raya Daerah Jasin dan Jabatan Pengangkutan Jalan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]