Isu pemindahan rumah setinggan disemak semula

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan menyemak kembali isu pemindahan rumah setinggan di kawasan bandaraya.


Menurutnya, ini kerana, pihaknya mendapat makluman berlaku ketidakadilan berhubung isu perpindahan perumahan berkenaan sebelum ini.


“Jadi, dalam masa dua bulan ini, saya banyak duduk berbincang dengan agensi-agensi kerajaan termasuk soal perumahan dan pelan pembangunan.


“Antara isu utamanya adalah soal isu setinggan atau peneroka bandar. Isu ini berpanjangan dan kami dapat maklumat tentang perpindahan sebelum ini berlaku ketidakadilan.


“Ada sesetengah pihak dapat lebih dari kuota yang sepatutnya dapat. Itu akan kita semak semula. Malah, pendekatan kami adalah untuk memastikan kawasan bandaraya ini diduduki orang tempatan, maka kita akan pastikan perpindahan berlaku dengan adil,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Rumah Terbukanya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yiew 1, di sini, hari ini.


Akmal Nasrullah berkata,  kelemahan pengurusan oleh agensi kerajaan terlibat serta campur tangan politik menyebabkan proses pemindahan berlaku secara tidak sekata.


“Ada juga pemindahan berlaku apabila pemilik sudah menerima kunci rumah sedangkan perjanjian jual dan beli (S&P) belum ditandatangani.


“Pada pandangan saya, mungkin ada kelonggaran dari segi penguatkuasaan dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) perlu ambil tindakan serius dan jangan ambil pertimbangan politik,” katanya.


Sementara itu, beliau menyambut baik cadangan untuk menyediakan pusat asuhan di kementerian-kementerian dan dibuka kepada kakitangan kerajaan dapat menggunakan perkhidmatan berkenaan.


“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan secara holistik. Setakat ini, kita masih tunggu maklum balas daripada pihak kementerian dan sebagai ahli parlimen kami menyambut baik sebarang cadangan dan penambahbaikan untuk bangkitkan isu ini pada sidang parlimen,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]