Johor terima pelaburan RM1 bilion dari China

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Johor dijangka menerima pelaburan bernilai RM1 bilion melibatkan pembinaan kilang tayar berteknologi tinggi dan robotik.


Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kerajaan negeri dan syarikat dari China kini di peringkat awal perbincangan bagi perkara itu.


Menurutnya, perjanjian mengenai pelaksanaan projek berkenaan dijangka ditandatangani kedua-dua pihak pada penghujung tahun ini.


“Satu pelaburan besar dari China bernilai lebih RM1 bilion dirancang di Johor, membabitkan pembinaan kilang tayar berteknologi tinggi dan menggunakan teknologi robotik.


“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberitahu mengenainya secara terperinci mengenai lokasi pelaburan berkenaan sebelum ia ditandatangani pihak berkaitan dan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kulai-Sedenak 2025 di Kulai, semalam.


Mengulas mengenai draf RKK, Jimmy berkata, semua masyarakat di sekitar Kulai-Sedenak digalakkan untuk mengambil bahagian dalam program publisiti berkenaan.


“Program publisiti dan penyertaan awam ini akan memberi gambaran jelas kepada orang awam bagi mendapatkan pandangan, maklum balas, bantahan dan rayuan daripada pihak berkepentingan termasuk orang perseorangan, pertubuhan, badan bukan kerajaan, pemaju dan syarikat swasta.


“Pandangan dan maklum balas yang dikemukakan akan didengar dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Perancang Negeri,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]