Kaji semula projek kritikal

in Edisi Utara by


BAYAN LEPAS – Kementerian Kerja Raya akan mengkaji semula semua projek yang dikategorikan sebagai kritikal di seluruh negara bagi memperbaiki semua kelemahan yang dikenalpasti.


Menterinya, Baru Bian berkata, kementerian itu akan meneliti dan mengkaji semua projek tersebut terutamanya yang melibatkan masyarakat sekeliling.


Menurutnya, sehingga kini, beliau belum meneliti kesemua projek tersebut berikutan baharu empat hari menjawat jawatan di kementerian berkenaan.


“Berdasarkan taklimat yang diberikan pegawai, ada projek yang dikategorikan sebagai kritikal perlu diteliti semula. Dan saya akan beri penekanan terhadap keadaan infrastruktur. Saya belum dapat keadaan sebenar tentang projek ini di seluruh negara tetapi ada beberapa negeri perlu diberi keutamaan.


“Buat permulaan, Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan kerana saya tahu keadaan projek di sana. Di semenanjung pun ada, di mana kementerian harus meneliti terutamanya yang melibatkan projek infrastruktur, sekolah,  hospital dan bekalan air bersih,” katanya kepada media tadi.


Tambahnya, kementerian tersebut juga akan meneliti semula semua projek yang tertangguh, sudah ditandatangani dan pengaungerahan tender secara berperingkat.


Menjawab soalan media tentang pertemuannya bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pagi tadi, Baru berkata, ia pertemuan pertama sejak dilantik sebagai menteri di Kementerian Kerja Raya.


“Pertemuan ini amat bermakna dan saya sempat berbincang dua projek kritikal di Pulau Pinang iaitu projek menaiktaraf Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.


“Saya tidak sempat berbincang isu lain seperti pembinaan terowong dasar laut mahupun cadangan jambatan baru bagi menggantikan terowong tersebut,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]