Kerajaan tegas tangani gerai haram

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Tindakan perobohan deretan gerai di Tanjung Tokong merupakan tindakan undang-undang biasa terhadap gerai haram yang didirikan di kawasan larangan.


Exco Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri akan lebih tegas selepas ini terhadap pembinaan gerai haram terutamanya yang mendatangkan bahaya kepada orang awam.


Menurutnya, dalam kes perobohan deretan gerai di Tanjung Tokong itu, beberapa notis dan amaran telah diberikan namun tiada tindakan oleh pemilik gerai berkenaan.


“Dalam kes ini, kita dapati, gerai-gerai ini didirikan di atas (bahagian tepi) jalan utama. Ia amat merbahaya. Namun, kita bukan terus roboh, banyak kali diberikan notis, teguran dan lanjutan masa, masih tiada tindakan diambil. Setelah didapati tiada tindakan, maka kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur lagi.


“Tindakan ini adalah mengikut undang-undang biasa ke atas gerai haram yang didirikan di kawasan yang tidak dibenarkan. Ia tindakan penguatkuasaan secara berterusan untuk semua gerai haram di negeri ini,” katanya ketika dihubungi tadi.


Semalam, beberapa buah gerai di Tanjung Tokong dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas didakwa menjalankan perniagaan secara tidak sah.


Kejadian yang disifatkan sedikit kecoh itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen antaranya mendakwa kerajaan negeri pilih kasih dalam mengambil tindakan penguatkuasaan.


Mengulas berhubung perkara itu, Jagdeep berkata, pihaknya memberi tumpuan ke atas keselamatan orang ramai berikutan kawasan tersebut merupakan laluan utama.


“Gerai di situ dah lama, ia terletak di selekoh. Kita dah bagi banyak peluang dan masa. Jika kita lihat, ia amat berbahaya kalau ada yang memberhentikan kenderaan mereka untuk membeli. Tambahan pula, ia terletak berdekatan dengan kawasan perumahan dan sekolah.


“Bayangkan jika berlaku kemalangan, siapa nak dipersalahkan? Tentu akan ada yang salahkan kerajaan negeri kerana didakwa tidak ambil tindakan. Tetapi, apabila kita ambil tindakan, ada yang tuduh kita rasis. Saya nak tanya, adakah kemalangan akan memilih bangsa?” katanya.


Jagdeep berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan secara berperingkat ke atas semua gerai haram di negeri ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]