Lokap IPD Besut tidak mampu tampung OKT

in Edisi Terengganu by


KAMPUNG RAJA – Lokap yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dan balai polis di bawah pentadbirannya sudah tidak mampu menampung bilangan tahanan yang ramai.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kapasiti lokap sedia ada di IPD tersebut tidak mampu untuk memuatkan suspek atau orang kena tahan (OKT) khususnya penagih dadah setiap kali operasi dilaksanakan.


Menurutnya, dalam setiap operasi, polis berjaya menangkap antara 40 hingga 50 orang penagih dan jumlah itu melebihi kapasiti lokap.


“Salah satu langkah untuk mengatasi masalah ini ialah suspek diambil saringan air kencing kemudiannya dituduh atau dibebaskan dengan jaminan sebelum dihadapkan ke mahkamah.


“Kita belum ada lagi peruntukan untuk membina IPD baru dan kita guna kemudahan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Aidilfitri IPD Besut di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi dan timbalannya, Deputi Superintendan Kamsani Hassan.


Dalam perkembangan lain, Aidi berkata, indeks jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak hampir 30 peratus.


Menurutnya,  IPD Besut mencatatkan penurunan paling tinggi iaitu sebanyak 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.


“Penurunan ini hasil pelbagai usaha dilakukan polis di negeri ini termasuk mengenal pasti penagih-penagih kerana kebanyakan mereka terlibat dengan kes-kes jenayah seperti pecah rumah, curi, ragut dan sebagainya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]