Musim raja buah kembali lagi

in Edisi Terengganu by


MARANG – Kawasan Dun Pengkalan Berangan di sini, kembali menjadi tumpuan penggemar durian apabila raja buah itu mulai masak dan gugur bermula minggu ini.


Peraih raja buah itu, Azilawati Mat Lazim, 31, berkata, setakat ini durian di Bukit Baru lebih banyak gugur berbanding kampung lain dan sudah mula dijual di bahu jalan utama kampung berkenaan.


“Durian Bukit Baru sudah mula gugur dan kali ini agak banyak. Durian di sini adalah jenis durian kampung dan sudah mula dijual namun harga masih tidak stabil serta agak mahal lagi,” katanya, senalam.


Bagaimanapun, katanya, harga yang ditetapkan peniaga di bahu jalan utama di situ masih boleh dirunding kerana raja buah itu dijual secara longgok dan bukannya secara timbang per kilogram.


Dia bersama ibunya, Zainab Kari, 57,  akan berada di gerai durian masing masing seawal jam 8 pagi lagi dan waktu itu merupakan waktu paling sibuk apabila pekebun membawa keluar hasil dari dusun.


Menurutnya, jualan durian dijual mengikut harga pasaran dan hasil yang diperoleh dari pekebun masih pada harga agak tinggi sebab itu peniaga masih belum dapat menawarkan harga yang rendah.


“Harga hanya akan lebih murah apabila berlaku lambakan buah dalam masa sebulan ini dan ketika itu bukan sahaja di Bukit Baru tetapi penjualan durian akan dapat dilihat di kampung lain berhampiran,” katanya.


Dun Pengkalan Berangan merupakan kawasan penghasilan durian terbesar di Marang malah kualiti buah yang dihasilkan di kawasan itu agak baik namun harga pula bergantung kepada budi bicara peniaga.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]