Peniaga buntu hilang mata pencarian

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Seorang peniaga buntu apabila hilang mata pencarian selepas kedai makan yang diusahakan di Kampung Chendor Baru  di sini, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.


Dalam kebakaran kira-kira jam 3 petang itu, Wahid Daud, 44, dan keluarganya juga  tinggal sehelai sepinggang selepas semua barang milik mereka musnah terbakar.


Bagaimanapun, Wahid ketika dihubungi bersyukur apabila dia berjaya menyelamatkan diri sejurus menyedari api mula marak memusnahkan kedai yang turut menjadi tempat tinggalnya.


Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam bilik manakala isteri keluar memberi barang untuk keperluan berniaga pada petang itu.


“Saya terjaga daripada tidur selepas api dari bahagian bumbung terjatuh dan terkena tangan. Ketika itu saya dapati api sudah semakin marak.

Kejadian menimpa Wahid (dua kanan) mendapat perhatian Adun Beserah, Andansura Rabu.


“Saya cuba padamkan dengan simbah air tapi gagal lalu keluar ke ruang kedai untuk alihkan tong gas kerana bimbang meletup.


“Itu saja yang sempat diselamatkan yang lain semuanya musnah terbakar,” katanya.


Bapa kepada seorang anak berusia 13 tahun itu berkata, kini dia hilang mata pencarian memandangkan kedai yang diusahakan itu sudah tiada lagi.


“Sebelum ini saya berniaga sarapan pagi dan pada sebelah petang saya sediakan masakan panas tapi sekarang semuanya sudah musnah.


“Selepas kejadian ada beberapa pihak datang dan hulurkan bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak sekolah menghulurkan bantuan bagi menggantikan pakaian sekolah anak yang hangus,” katanya.


Wahid berkata, dia dan isteri kini menumpang di rumah rakan di Kemaman.


Orang ramai yang prihatin dan berhasrat membantu keluarga ini boleh menghubungi beliau di talian 010-9287710.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]