Tular enam pekerja rentung palsu

in Nasional by


KEMAMAN – Orang ramai terutama pengguna media sosial diingatkan tidak membuat spekulasi dan menyebarkan berita palsu tentang kebakaran Kilang Kemaman Bitumen Company (KBC) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong.


Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid berkata, berita yang disebarkan dalam media sosial terutama Facebook dan aplikasi WhatApp kononnya enam pekerja rentung dalam insiden itu adalah tidak benar.


Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya cuma seorang pekerja syarikat kontraktor penyelenggaraan yang mengalami kecederaan akibat kejadian berkenaan.


“Sebaran berita palsu hanya akan membuatkan orang panik dan saya harap ia dihentikan.


“Kita harap penduduk sekitar kawasan ini tidak panik dan maklumat berkaitan kebakaran akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya yang melawat pos operasi polis di lokasi kejadian, malam tadi.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Seorang dilaporkan cedera ]


[ ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Tiga tangki musnah setakat ini ]


Turut hadir, Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kijal, Hazri Jusoh.

Alias mendengar taklimat mengenai kebakaran oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika melawat lokasi kebakaran.


Kata Alias, setakat ini pihak beliau menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengesahkan sama ada asap daripada kebakaran itu memberi kesan kepada penduduk atau tidak.


“Kalau asap berkenaan beri kesan membahayakan, tindakan segera akan diambil,” katanya.


Sehingga jam 10 pagi ini, kerja pemadaman kebakaran yang melibatkan tiga tangki minyak mentah masih giat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu dengan bantuan JPBM Pahang melibatkan keanggotaan seramai 111 orang.


Hampir semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri ini dikerah termasuk dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Kuala Berang.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]