Uniknya Kuala Muda

in Edisi by


SUNGAI PETANI – Kuala Muda sebuah daerah terletak di Kedah Tengah mempunyai pelbagai keunikan tersendiri bukan sahaja menjadi tumpuan disebabkan gunung tertinggi di negeri ini malah kedudukannya dikelilingi sungai, bukit, gunung, lombong, paya bakau dan pantai sudah pasti ada tarikannya.


Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) , Mohd Amin Ali berkata, Gunung Jerai yang sebahagiannya berada dalam daerah Kuala Muda, mempunyai empat peringkat hutan unik iaitu Hutan Tanah Rendah, Hutan Bukit, Hutan Tanah Tinggi dan Hutan Gunung.


Selain Gunung Jerai, Kuala Muda juga dikelilingi Sungai Merbok yang mengandungi warisan bakau tersendiri  iaitu 42 spesies daripada 60 spesies bakau dunia dalam kawasan meliputi 4,037 hektar iaitu jumlah tertinggi dalam satu kawasan kecil.


“Uniknya kita masih memelihara spesies teruk terancam seperti Berus Mata Buaya nama saintifiknya Bruiguiera Hainseii, Gedabu (Sonneratia Ovata) dan Berembang (Sonneratia Caseolaris).


“Keunikan spesies tadi menjadikan ia sebagai simpanan bakau dunia dan disenaraikan memasuki Man and The Biosphere Programme-Unesco, sebelum diangkat untuk pengiktirafan,” katanya.

Pengangkutan air yang disediakan MPSPK buat pengunjung yang ingin merasai perjalanan menyusuri Sungai Merbok.


Beliau berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan, MPSPK merupakan pemain utama sektor pelancongan daerah di mana pengurusan pelancongan daerah dipacu oleh agensi berkenaan.


“Kita merancang mewujudkan hub pelancongan di Jeti Semeling iaitu pesisiran Sungai Merbok untuk menjadi pusat interpretasi pelancongan daerah dan pusat informasi kepada pelancong tentang apa yang ada di Kuala Muda.


“Setakat ini di Jeti Semeling sahaja kita mempunyai tiga buah galeri iaitu Biodiversiti, Sejarah dan Tamadun Kedah Tua serta Geopark,” katanya.


Antara kemudahan lain yang disediakan di Jeti Semeling termasuk dewan pelbagai guna yang boleh memuatkan 50 orang, auditorium untuk kemudahan 100 orang dan Restoran Warisan Kedah Tua yang menyediakan pelbagai jenis menu dibuka bermula tengah hari sehingga tengah malam.


“Turut dipamerkan, Replika Gok Arang yang membuktikan kewujudan aktiviti ekonomi berasaskan bakau suatu masa dahulu iaitu proses pembuatan arang daripada kayu bakau yang mana dulu ada banyak pengusaha di daerah ini tetapi hanya ada satu lagi pengusaha yang menjalankan perusahaan ini,” katanya.


Bagi merancakkan aktiviti pelancongan daerah, MPSPK menyediakan pakej River Cruise Sungai Merbok bersama Catamaran yang boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu perjalanan.


Pakej ini membawa penumpang menyusuri Sungai Merbok ke Teluk Bayu, makan tengah hari di restoran terapung bagi sesi pagi dan minum petang di Restoran Warisan Kedah Tua.


Setiap sesi mengambil masa dua jam setengah di mana penumpang dikenakan bayaran antara RM15 sehingga RM50 seorang mengikut kategori.


Antara pakej lain yang ditawarkan termasuk Island Hoping di mana penumpang akan dibawa melawat ke tiga buah pulau iaitu Pulau Bidan, Pulau Telur dan Pulau Songsong, menjalankan aktiviti snorkeling dan makan tengah hari dengan tempoh pakej berlangsung selama empat jam.


Setiap sesi boleh memuatkan maksimum 10 penumpang dengan pakej bayaran RM670 bagi setiap perjalanan.


“Kita rancang untuk jadikan Jeti Semeling sebagai hub pelancongan daerah, mewujudkan surau baharu, menyediakan dataran dan membina satu monumen Jerai Geopark.


“Kita juga akan kumpulkan semua ejen pelancongan di sini bagi memudahkan perkhidmatan ditawarkan kepada pelancong,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berharap agar penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan komponen baharu seperti Bakau Sanctuary Stop Point, Taman Geologi, perancangan membina kereta kabel di Gunung Jerai dapat diperhalusi dalam usaha memantapkan pelancongan di Kuala Muda sekaligus meningkatkan ekonomi negeri.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]