Warga Thailand ditemui mati tertiarap

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Seorang warga Thailand ditemui mati dalam keadaan tertiarap di belakang sebuah rumah kosong di Jalan Teratai, Kampung Alur Tembesu, di sini, pagi tadi.


Mayat Muhammatromli Adae, 44 ditemui oleh seorang lelaki kira-kira jam 11. 00 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.


Mangsa yang juga seorang tukang masak di sebuah kopitiam di Pak Sabah dipercayai maut ketika cuba melarikan diri selepas tempat kerjanya diserbu pihak imigresen.


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, premis perniagaan berkenaan dipercayai diserbu kira-kira jam 11.00 malam.


Menurutnya, mangsa dipercayai melarikan diri dan terjatuh ketika melalui kawasan rumah kosong itu.


“Ketika terjatuh dalam keadaan tertiarap, kepala mangsa dipercayai terhantuk pada kayu menyebabkan hidungnya patah dan pendarahan melalui hidung.


“Mangsa pengsan dan berlaku pendarahan di hidung menyebabkannya lemas sehingga meninggal dunia,” katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan mayat mendapati hanya terdapat kesan luka di tangan kiri kesan tercucuk duri dan hidung patah.


“Selain pendarahan hidung, tiada kecederaan lain pada mayat mangsa.


“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.


“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira jam 6.00 pagi sebelum ditemui beberapa jam selepas itu,” katanya.


Katanya, pengecaman mayat telah dilakukan oleh majikan mangsa dan pasport turut diserahkan kepada pihak polis.


“Semakan dibuat didapati tiada laporan polis dibuat berhubung serbuan oleh Jabatan Imigresen dan pihak mereka belum dapat dihubungi untuk pengesahan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]