Bauksit di Minyak Beku: Kerajaan negeri belum terima laporan

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri masih belum menerima laporan lengkap berhubung isu kewujudan pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit di Minyak Beku, Batu Pahat seperti yang diadukan penduduk kawasan itu baru-baru ini.


Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, buat masa ini kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang andaian kerana tiada sebarang laporan terperinci diterima selain hanya mengetahuinya melalui saluran komunikasi sahaja.


“Saya semalam dimaklumkan mengenai perkara ini, tetapi tidak boleh nak komen apa melainkan dapat laporan, sekarang ini laporan pun belum sampai ke tangan saya. Perkara ini saya dapat tahu hanya melalui perbualan sahaja.


“Jadi jangan beranggapan yang saya tidak peka, perkara ini rumit dan disebabkan itu kita memerlukan laporan tepat, jadi bila kita nak bercakap pun perkara itu biarlah tepat,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.


Osman berkata, sebarang perkembangan baharu berhubung perkara itu akan dijelaskan selepas kerajaan negeri memperoleh maklumat terbabit.


Terdahulu, media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan mengambil tindakan sekiranya laporan siasatan mendapati terdapat pencemaran alam sekitar akibat kewujudan pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit di Batu Pahat berkenaan.


Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezani Mat Salleh berkata, siasatan mengenai pencemaran itu sedang dijalankan dan masih menunggu laporan lengkap mengenainya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]