Cadang pusat khidmat sebagai pusat hentian setempat

in Uncategorized by


KUALA KURAU – Penyertaan pelbagai agensi kerajaan pada program Hari Bertemu Rakyat anjuran Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan pastinya membantu mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat Dun itu.


Justeru, Adunnya, Abdul Yunus Jamhari berhasrat menjadikan pusat khidmatnya sebagai pusat hentian setempat kepada rakyat Dun Kuala Kurau bagi merujuk sebarang permasalahan kepada kesemua agensi kerajaan berkaitan pada setiap bulan.


Adunnya, Abdul Yunus Jamhari berkata, kehadiran empat agensi kerajaan negeri melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Kerian (MDK), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kurau ke program anjurannya semalam mendapat sambutan luar biasa penduduk setempat.


Menurutnya, pihaknya menganggarkan lebih 100 penduduk Dun Kuala Kurau menyerbu program julung kali dibuat dengan kerjasama empat agensi kerajaan terbabit di pusat khidmatnya di Batu 14, di sini bermula 9 pagi hingga 12 tengahari.


“Kehadiran empat agensi kerajaan berkenaan adalah bagi memastikan setiap perkara diajukan, dapat diselesaikan melalui saluran betul secara terus dengan pihak berkaitan.


“Dalam pertemuan bersama rakyat tadi, banyak perkara dan masalah dilaporkan dan saya gembira sekurang-kurangnya 60 peratus permasalahan tersebut dalam diselesaikan kadar segera.


“Senario kini pastinya berbeza berbanding pengalaman dahulu sebagai Adun pembangkang apabila masalah rakyat perlu mengambil masa lama untuk diselesaikan dan diajukan kepada pihak berkenaan,” katanya kepada media di Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau, Batu 14 di sini hari ini.


Abdul Yunus berkata, pihaknya merancang untuk menjemput lebih banyak agensi kerajaan bagi menyediakan terus kaunter perkhidmatan di hadapan pejabat pusat khidmatnya pada setiap program ‘Hari Bertemu Rakyat’ yang akan diadakan pada setiap Jumaat minggu pertama setiap bulan.


Menurutnya, langkah itu penting bagi membolehkan penduduk menjadikan pusat khidmatnya sebagai pusat hentian setempat untuk menjalani urusan dengan kesemua agensi kerajaan berkaitan.


“Saya akan cuba mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat dengan menjadikan pusat khidmat saya sebagai pusat hentian setempat kepada mereka bagi merujuk sebarang permasalahan dengan mana-mana agensi kerajaan berkaitan secara terus.


“Setiap aduan dan permasalahan melibatkan mana-mana agensi terlibat, rakyat boleh terus membuat aduan dan Insya-Allah dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]