Isu hakisan pantai ke Parlimen

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan memberi fokus dan tumpuan untuk menyuarakan masalah hakisan pantai yang melanda kawasan itu sebaik Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan ini.


Mohd Khairuddin berkata, masalah hakisan pantai yang teruk khususnya di Mengabang Telipot sebelum ini telah memberi kesan dan kebimbangan kepada penduduk sekitar khususnya nelayan.


“Seperti mana yang saya sering suarakan sebelum ini, hakisan pantai perlu ditangani dengan sebaiknya bagi mengelak lebih banyak kemusnahan.


“Dalam beberapa siri hakisan teruk yang bermula di pantai Tanjung Gelam, diikuti Kampung Tengah dan seterusnya Kampung Kolam memberi isyarat bahawa tindakan jangka pendek dengan menambak batu tidak berjaya menghalang hakisan daripada terus berlaku.


“Jadi, dalam sidang Dewan Rakyat nanti saya akan terus kemukakan masalah yang telah berlanjutan sejak sekian lama ini untuk tindakan menteri berkaitan,”katanya.


Katanya, masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu perlu kepada penyelesaian jangka panjang bagi memastikan keindahan pantai yang jadi tarikan di kawasan itu tidak terpadam.


“Selepas hakisan teruk sejak beberapa tahun lalu ia telah banyak menghanyutkan kawasan pasir pantai, malah turut mengakibatkan kemusnahan harta benda.


“Justeru, permasalahan ini perlu diberikan perhatian secara serius dan usaha untuk menanganinya dilaksanakan dengan segera,”katanya.


Mohd Khairuddin sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan orang ramai terutamanya nelayan yang terjejas teruk akibat hakisan pantai yang berlaku saban tahun setiap kali tibanya musim tengkujuh.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]