Kerajaan negeri sedia bantu KBC

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Kerajaan negeri sedia berbincang dengan pihak pengurusan kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, yang tangki minyak mentahnya terbakar Khamis lalu untuk melihat bentuk bantuan sewajarnya diberikan.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan proses pemulihan di kawasan kilang berjalan lancar.


“Saya menerima panggilan daripada pihak pengurusan (kilang) bahawa tangki yang terbakar telah dipadamkan pada jam 9 pagi tadi.


“Suasana masih lagi panas dan bahaya. Bagi tempoh ini (buat masa sekarang) tunggu keadaan sejuk dan baharulah proses kenal pasti punca dapat dilakukan.


“Kerajaan negeri akan bincang dengan pihak pengurusan (KBC) untuk pastikan apa kita dapat bantu. Saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang proses memadam kebakaran,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui Pada Majlis Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) Batu Rakit, di sini, hari ini.


Hadir sama Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.


Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut mengingatkan semua pengusaha kilang berkaitan minyak dan gas di negeri ini agar meningkatkan prosedur keselamatan bagi mengelak insiden sama berulang.


“Saya yakin dan percaya bahawa pihak pengusaha sentiasa meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan, namun diharap segala prosedur penting ditingkatkan dari masa ke semasa,”katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]