Panglima TLDM ke-13 meninggal dunia

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ilyas Din meninggal dunia pada 10.10 malam tadi akibat sakit jantung.


Ilyas, 67, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Datuk Keramat di sini, selepas sembilan hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur.


Menurut kenalan rapat Allahyarham Ilyas, Nor Khairul Anuar Mohamad Nor, Panglima TLDM ke-13 itu dibenarkan pulang oleh pihak hospital petang tadi.


“Saya sendiri yang membawa beliau pulang dari hospital. Kami tiba di rumah selepas Maghrib tadi dan menguruskan segala hal selepas pemergiannya dan juga urusan untuk pengebumian esok,” katanya kepada Bernama.


Nor Khairul berkata arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di sini, esok selepas solat jenazah yang akan diadakan pada 7 pagi di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak di sini.


Allahyarham Ilyas meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Meryam Harun dan tiga anak iaitu Mohd Azrai, Nuratika dan Nurameera.


Ilyas yang dilantik sebagai Panglima TLDM pada 28 April 2005, memulakan kariernya dalam pasukan keselamatan itu selepas ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 Jan 1972 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan bersara pada 2006.


Sepanjang kariernya, beliau yang juga digelar “Bapa Kualiti TLDM” pernah menjawat jawatan Panglima Armada, di mana di bawah pengurusannya Markas Armada TLDM merangkul beberapa anugerah kualiti.


Beliau juga merupakan faktor pendorong yang membawa kepada kejayaan Markas Armada memperoleh persijilan MS ISO 9001:2000 pada 2003. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]