Pelaburan RM1.1b suku tahun pertama

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Pulau Pinang mencatatkan RM580 juta dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk suku tahun pertama bagi tahun ini.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, angka yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu turut menunjukkan pelaburan domestik bagi Pulau Pinang mencatat RM438 juta bagi tempoh sama.


Menurutnya, sehubungan itu, jumlah pelaburan bagi Pulau Pinang bagi tiga bulan pertama pada tahun ini mencatatkan RM1.1 bilion.


“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mempunyai rangkaian dan perkhidmatan logistik yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan yang berterusan ini. Industri logistik industri yang berkembang di Pulau Pinang dan sebahagian besarnya disebabkan pertumbuhan berterusan sektor perkilangan.


“Logistik memainkan peranan penting dalam menyokong keseluruhan ekosistem rantaian bekalan,” katanya ketika berucap di majlis pembukaan pusat logistik sehenti Syarikat Integrated Cold Chain Logistic Sdn Bhd (ICCL).


Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengarah Kumpulan Syarikat ICCL, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd Nor.


Kon Yeow berkata, pelaburan ICCL di pusat logistik teknologi tinggi baharu akan melonjak kapasiti logistik di Pulau Pinang.


“Ia juga mewujudkan keupayaan logistik dalam perkembangan dan manfaat perniagaan. Strategi ICCL dalam pemindahan kepakaran teknologi dari luar negara juga akan membantu perkembangan logistik tempatan.


“Dengan adanya pusat kecemerlangan logistik halal merupakan inisiatif bernilai dalam meningkatkan modal insan bagi sektor perniagaan halal yang semakin berkembang,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]