Rampasan beg baja: MOA tunggu siasatan SPRM

in Nasional by


BATU PAHAT – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menunggu laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rampasan 3,390 beg baja dalam serbuan di sebuah gudang tidak berlesen di Bakri, Muar, semalam.


Menterinya, Salahuddin Ayub berkata ini termasuk laporan sama ada terdapat penglibatan pegawai di kementerian dan agensi di bawah kementerian tersebut dalam ketirisan bantuan subsidi itu.


“Sememangnya sejak saya mengambil alih kementerian ini saya telah arahkan audit dibuat terhadap semua agensi di bawah kementerian dan mengalu-alukan sebarang siasatan.


“Biarlah undang-undang menentukan, saya akan menunggu jawapan (siasatan) SPRM ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat penternak lembut fidlot dan program sembang tani bersama masyarakat tani Sri Medan, di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: 3,390 beg baja SBPKP bernilai lebih RM180 ribu dirampas]


Semalam, kementerian itu memaklumkan mereka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan SPRM telah merampas 3,390 beg baja dianggarkan bernilai lebih RM180,000 disyaki untuk jualan di pasaran gelap.


Beg baja yang dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui kontrak kerajaan tersebut disimpan di gudang yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan barangan kawalan.


Mengenai lawatannya ke tempat ternakan lembu itu, Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Pulai, berkata kementerian itu sedang mencari jalan untuk menyediakan insentif yang akan diberikan kepada penternak-penternak lembu dalam kategori kelompok kecil.


“Ternakan berkelompok dalam skala kecil ini akan terus dibantu dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya bantuan terus sampai kepada mereka, ini sekali gus dapat meningkatkan hasil penternakan mereka” katanya.


Terdapat kira-kira 21 penternak berusia bawah 40 tahun yang aktif di Sri Medan dengan melibatkan 1,076 ekor lembu.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]