Tunjuk bukti harga barang turun: Shahril

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution bahawa 70 peratus barangan asas mengalami penurunan harga selepas kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) amat meragukan.


Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, apatah lagi kenyataan itu dibuat tanpa sebarang bukti dan butiran kajian Majlis Harga Negara.


Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP perlu mengeluarkan laporan penuh kajian Majlis Harga Negara mengenai penurunan tersebut seperti didakwa Saifuddin.


“Saya mendapat banyak rungutan dari rakyat yang menyatakan harga barangan tidak mengalami penurunan walaupun GST telah diturunkan pada kadar sifar peratus. Apatah lagi sewaktu tempoh musim perayaan masih lagi berlangsung pada ketika ini.


“Selain itu, kementerian seharusnya sedar bahawa terdapat sebilangan peniaga yang telah terlebih dahulu menaikkan harga barangan sebelum GST dikadar sifarkan. Sebarang penurunan harga selepas GST sifar peratus hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal barangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, penurunan itu dikesan berdasarkan tinjauan kementeriannya antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu.


Shahril mengambil contoh bawang merah kecil rose yang mengalami kenaikan harga selepas kadar sifar GST.


“Laporan Harga Purata Terkini Peringkat Runcit Komoditi Harian yang dikeluarkan Fama pada 1 Mei di daerah Petaling, Selangor mendapati harga purata bagi produk ini adalah RM7 sekilogram. Namun pada 29 Mei harganya melambung kepada RM8.


“Manakala pada 23 Jun, harga puratanya adalah RM7.50 setiap kilogram. Bermakna di sini jelas, harga telah naik terlebih dahulu sebelum berlakunya penurunan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]