Gesa dedah RUU Farmasi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Persatuan Farmasi Malaysia berharap kerajaan akan mendedahkan kandungan lengkap Rang Undang-Undang Farmasi yang dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Presidennya, Amrahi Buang dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklumat berhubung RUU itu yang kali terakhir dibincangkan pada September tahun lepas.


Justeru, timbul persoalan samada kerajaan akan meneruskan pelaksanaannya atau tidak apatah lagi peruntukan dinyatakan dalam RUU itu masih belum jelas.


“Adakah kerajaan akan meneruskan pelaksanaannya atau tidak? Kami juga tidak pasti dengan peruntukan dinyatakan dalam RUU itu yang hanya akan diketahui setelah ia dibawa ke Parlimen.


“Kenyataan rasmi terakhir mengenai RUU Farmasi dikeluarkan pada September 2017. Pada waktu itu, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan mereka menunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara.


“Pada tahun sama, dilaporkan bahawa RUU itu telah dipinda dan dimuktamadkan untuk kekalkan sistem membenarkan doktor dan ahli farmasi mendispen ubat-ubatan,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN : MPS bantah RUU Farmasi ]


[ ARTIKEL BERKAITAN : RUU farmasi tunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara ]


Begitupun, katanya, keputusan Bekas Menteri Kesihatan itu mendapat tentangan persatuan pengguna yang mendakwa di negara maju, pesakit diberi kuasa membuat keputusan untuk ubat-ubatan mereka.


Dalam perkembangan berkaitan, Amrahi berharap ahli farmasi diberi peluang memainkan peranan penting dan setimpal dengan kepakaran dimiliki.


“Peranan ahli farmasi tidak terhad kepada tugas mendispen sahaja. Terdapat banyak lagi inisiatif boleh dilakukan mereka untuk menggalakkan gaya hidup sihat.


“Kajian dijalankan Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan bahawa kebanyakan responden ingin menerima kaunseling ubat-ubatan daripada ahli farmasi.


“Justeru, ahli farmasi terutamanya yang berkhidmat di sektor swasta mampu memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam khidmat masyarakat,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]