44,308 kes tribunal tuntutan pembeli rumah selesai

in Nasional by


PUTRAJAYA – Sebanyak 44,308 daripada 44,581 kes difailkan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) diselesaikan bagi tempoh 1 Jan 2003 hingga 30 Jun lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.


Katanya bagi Tribunal Pengurusan Strata (TPS) pula, sebanyak 7,645 daripada 9,787 kes diselesaikan bagi tempoh Julai 2015 hingga 30 Jun lalu.


Dari segi pemfailan kes pula, sebanyak 709 kes perumahan dan 2,355 kes pengurusan strata direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah kepada presiden TTPR dan TPS, di sini hari ini.


Seramai enam presiden TTPR dan 10 Presiden TPS menerima watikah masing-masing pada majlis berkenaan.


Mengulas mengenai pelantikan baharu itu, Zuraida berkata lantikan bertujuan menampung peningkatan kes tuntutan didaftarkan di tribunal tersebut.


“Keutamaan lantikan baharu ini adalah bagi mempercepat penyelesaian kes yang kita terima supaya dapat memudahkan penuntut… kita tak nak lagi rakyat menunggu lama dalam sesuatu tuntutan,” katanya.


Menurut Zuraida, kebanyakan kes TTPR melibatkan tuntutan ganti rugi bagi kelewatan penyerahan milikan rumah manakala bagi kes TPS pula kebanyakannya berkenaan tuntutan bagi caj penyenggaraan dan isu mengenai kebocoran antara tingkat. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]