Hasil cili tanpa racun kimia

in Edisi by


ALOR SETAR – Tanpa penggunaan racun kimia, inovasi pertanian diketengahkan Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Kedah dijangka mampu menghasilkan hampir 4 tan cili dalam tempoh setahun.


Pulangan lumayan terbabit diraih melalui tanaman cili fertigasi secara kawalan biopesticida, iaitu satu sistem pengeluaran hasil tanaman yang tidak menggunakan racun kimia kepada perosak tanaman.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur, Nor Azera Abu Bakar berkata, kaedah kawalan racun secara organik melibatkan penggunaan bahan semula jadi di persekitaran berbanding kaedah secara fertigasi biasa itu dilihat lebih menguntungkan.


“Melalui kaedah kawalan racun secara organik itu, kita dapati pengeluaran cili diusahakan mampu mengeluarkan hasil sebanyak 7.68kg cili untuk satu polibeg setahun berbanding hanya 4kg untuk kaedah fertigasi secara biasa.


“Bayangkan, jikalau ada peserta menanam tanaman cili itu dalam skala ekonomi, iaitu mengusahakan 500 polibeg tanaman cili, maka sebanyak 3,840kg sudah boleh diperoleh, “katanya.


Beliau berkata, kaedah berkenaan digunakan untuk tanaman cili kerana ia sayuran buah yang bernilai tinggi dan popular dalam kalangan petani kerana ia mendapat permintaan tinggi dengan harga stabil sehingga menyebabkan penanamannya meningkat dari musim ke musim.


Azera berkata, nama saintifik pokok cili adalah capsicum annuuum yang tergolong dalam keluarga solanaceae, namun ia dilebih dikenali dengan nama tempatan, antaranya termasuklah cili merah, cili hijau, lada mahupun cabai.


“Tanaman cili sesuai ditanam di kebanyakan tanah termasuklah jenis gambut dan tanah pasir pada suhu antara 20 hingga 30 darjah celsius dengan taburan hujan antara 1,500 milimeter (mm) hingga 2,000mm sebulan,” katanya.


Tambahnya, kaedah kawalan racun secara organik berkenaan juga lebih menjimatkan kos apabila hanya perlu ditanam sekali untuk tempoh setahun berbanding dua kali tanaman setahun untuk kaedah fertigasi biasa.


Menurutnya, pihaknya mendapati penggunaan racun kimia secara berlebihan akan memberi kesan buruk kepada tanaman, antaranya menjejaskan kesuburan tanah dan sisa baki racun dalam hasil makanan yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.


Disebabkan itu, Azera berkata, pihaknya menggalakkan orang awam menggunakan kaedah kawalan bioperticida itu, kerana hanya bahan semula jadi, seperti sekam bakar digunakan dalam proses penanaman, yang mana ia akan bertindak sebagai anti serangga kepada tanaman.


Antara kelebihan, menurut beliau, ia kaedah mesra alam, mampu mengekalkan dan menambah jangka masa kesuburan tanah dan mengurangkan kos input seperti baja dan racun.


Tambahnya, melalui kaedah ini, ketahanan dan imunisasi pokok meningkat menjadikan ia lebih kuat, buah cili tahan lebih lama dan tidak mudah rosak, sekali gus memaksimumkan keuntungan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]