Hujah Zainudin tak relevan: Presiden Mapim

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Hujah bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin agar institusi tahfiz ditutup adalah tidak relevan dan berasas.


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pemikiran Zainuddin sarat dengan prasangka buruk sehingga beliau tidak melihat sedikit pun kebaikan institusi tahfiz.


Katanya, kebanyakan kes negatif di institusi tahfiz seperti didakwa Zainuddin merupakan kes terpencil.


“Daripada lebih 700 institusi tahfiz dengan lebih 70,000 pelajar yang ada di negara ini, kes negatif yang dicatat oleh Zainuddin sangat terpencil. Hujahnya lebih kepada tanggapan yang diselubungi sentimen prejudis kepada institusi tahfiz dan merumuskan pandangan secara simplistik.


“Dengan berhujah bahawa ada ustaz yang mengkomersialkan tahfiz dengan mencatat satu dua kes pelajar diperalatkan, adalah hujah yang lemah untuk menjadi sebab menutup institusi tahfiz,” katanya dalam kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Sebab Zam mahu sekolah tahfiz ditutup]


[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa perlu tutup sekolah tahfiz? Soal Mujahid]


Semalam, Zainuddin mempertahankan cadangannya yang menuntut semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup.


Beliau mendakwa, penyelewengan berlaku di sekolah-sekolah tahfiz susulan beberapa kes yang disebutkan.


Menurut Mohd Azmi, dakwaan Zainuddin bahawa ibu bapa mahu menghapuskan dosa mereka dengan menghantar anak ke institusi tahfiz sangat melampau.


“Dakwaan ini tidak benar untuk menjadi alasan pukal. Apa yang perlu ialah penyeliaan yang rapi.


“Kami hairan kenapa Zainuddin membandingkan sejauh itu dan tidak menghormati niat baik para ibu bapa yang inginkan anak mereka menghafal Quran. Buruk sangka beliau terhadap kemuliaan para hufaz sangat mendalam,” katanya.


Katanya, masih banyak yang perlu dilakukan kepada institusi tahfiz persendirian dari sudut peraturan dan syarat operasinya, namun tidak perlu menutup semua institusi tersebut.


“Tidak dinafikan ada kelemahan dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta penyeliaan sekolah tahfiz. Namun, ia turut berlaku di sekolah lain termasuk sekolah kerajaan.


“Ribuan kes penderaan, salah laku dan kecuaian berlaku di sekolah kebangsaan juga,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]