Perhalusi cadangan lelong bot dirampas

in Nasional by


MANJUNG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan nelayan supaya melelong bot nelayan asing dirampas agensi dibawah kementerian berkenaan.


Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, hasil pertemuan dan sesi dialog pihaknya bersama nelayan di beberapa negeri menerima maklum balas supaya bot dirampas dilelong daripada dibakar.


“Seperti kita ketahui pihak berkuasa negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam akan membakar vessel (bot nelayan) yang dirampas apabila nelayan asing memasuki perairan mereka.


“Tetapi negara kita tidak melakukan perkara sedemikian jadi saya fikir cadangan yang diterima agar bot-bot ini dilelong boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Program Interaksi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Nelayan di Jeti Projek Pemasaran Ikan dan Dana Nelayan, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Manjung Utara, pagi tadi.


Tambahnya, cadangan berkenaan akan diperhalusi dan sekiranya ada keperluan yang boleh mendatangkan hasil kepada negara, kementerian akan mempertimbangkan perkara tersebut.


Ditanya tindakan kerajaan dalam mengambil kembali bot nelayan yang dirampas negara jiran, Salahuddin berkata, saluran diplomatik akan digunakan bagi berbincang perkara tersebut.


“Bagaimanapun pendekatan yang digunakan itu terpulang kepada undang-undang negara tersebut dan ada selesai secara diplomatik bagi pertukaran bot nelayan dirampas,” katanya.


Sementara itu,  Salahuddin mengingatkan nelayan negara ini agar sentiasa beretika dan mematuhi peraturan ketika menangkap ikan di laut tanpa memasuki zon larangan.


“Susah kalau ditangkap kerana pelbagai implikasi akan berlaku seperti hilang punca pendapatan serta hilang bot yang dirampas pihak berkuasa,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]