Tabung solidariti: Najib ucap terima kasih

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli Umno di semua peringkat atas inisiatif menyumbang dalam tabung ‘Solidariti Datuk Seri Najib’.


Kutipan yang mencecah RM489,166, diserahkan Ketua Sekretariatnya, Datuk Razlan Rafii kepada Najib bagi proses jamin, hari ini.


Najib perlu menyelesaikan baki jaminan sebanyak RM500,000 bagi sejumlah RM1 juta yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan ke atasnya, Rabu lalu.


“Ini sumbangan yang sangat bermakna. Ia bukannya dirancang, bukan dibuat dengan arahan namun terbit dari hati nurani yang ikhlas.


“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes rasuah]


[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung #FreeNajib untuk kumpul dana]


Beliau berkata sumbangan itu juga bukti bahawa ahli Umno dan rakyat biasa menunjukkan kasih sayangnya kepada pemimpin.


“Diharap dengan restu mereka semua, saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini,” katanya.


Rabu lepas, Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah berhubung dana SRC International Sdn. Bhd berjumlah RM 42 juta.


Najib mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM1 juta yang dibayar secara ansuran sebanyak dua kali.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]