Tutup pusat maksiat bukan sekolah tahfiz

in Nasional by


GEORGETOWN – Armada Bersatu Pulau Pinang menempelak cadangan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin supaya operasi sekolah tahfiz di seluruh negara dihentikan sepenuhnya.


Ketuanya, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman berkata, tindakan itu jelas keterlaluan dan tidak wajar dilakukan sebagai seorang individu yang beragama Islam.


Beliau berkata, sepatutnya pusat hiburan dan maksiat yang perlu ditutup di seluruh negara kerana boleh memudaratkan generasi muda.


“Cadangan supaya sekolah tahfiz ditutup bukanlah satu idea yang bijak, tetapi yang perlu ditutup adalah pusat hiburan, judi dan maksiat yang semakin banyak.


“Benda-benda ini tak ada faedahnya dan lebih memberi mudarat kepada generasi muda. Ia harus ditutup bagi mengelak lebih ramai terjerumus kepada aktiviti tidak sihat itu,” katanya.


Menurutnya, usaha murni bagi memartabatkan institusi tahfiz seharusnya disokong semua pihak supaya nasib pelajarnya terbela dari masa ke semasa.


“Kenapa perlu tutup sekolah tahfiz? Sedangkan ia terbukti dapat melahirkan, mendidik dan membentuk peribadi manusia menjadi insan yang mengamalkan sunah Nabi, beradab, bertanggungjawab dan berbudi.


“Masyarakat yang beranggapan sekolah tahfiz akan menyebabkan generasi muda mundur pada masa hadapan adalah tidak benar.


“Sekolah tahfiz di Malaysia sekarang bukan macam dulu lagi. Sekolah tahfiz sekarang ada kemahiran, akademik dan ada yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.


Muhammad Shameer berkata, sepatutnya Zainuddin mencadangkan penambahbaikan dari segi infrastruktur, keselesaan dan silibus pembelajaran sekolah tahfiz di seluruh negara.


“Mungkin boleh diwujudkan sistem yang lebih teratur dan moden supaya sekolah tahfiz dilihat dapat membanggakan ummah sealiran dengan kemajuan teknologi serta mengikut peredaran semasa agar nampak lebih relevan pada masa kini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]