Agong berkenan beramah mesra dengan penggiat seni

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis ramah mesra bersama kerabat Diraja Kelantan dan 400 penggiat seni tanahair.


Baginda terlebih dahulu meluangkan masa merakamkan gambar bersama-sama mereka sebelum bersantap di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.


Pengerusi program Datuk Seri Raja Shah Reza ketika ditemui berkata, majlis buat julung-julung kalinya diadakan itu merupakan satu penghargaan kepada penggiat seni.


“Jika sebelum ini ramai artis keluar masuk istana sebagai artis jemputan tetapi kali ini sebagai tetamu,” katanya.


Menurutnya, walaupun persiapan hanya dilakukan dalam tempoh tiga hari, beliau bersyukur dengan sambutan diberikan.


“Alhamdulillah Dewan Santapan Utama ini dipenuhi,” katanya.


Beliau berkata, Institusi Diraja dan penggiat seni tidak dapat dipisahkan.


“Banyak seni budaya yang berasal dari istana seperti makyong, menora dan wayang kulit yang kemudiannya diperkenal di seluruh tanah air untuk memperlihatkan kehidupan raja-raja kepada rakyat,” katanya.


Mengulas mengenai idea majlis ini, Shah Reza berkata, beliau didatangi oleh ramai penggiat seni terutamanya dari Kelantan yang mencadangkan majlis ini.


“Alhamdulillah Tuanku perkenan dan walaupun dalam masa tiga hari persediaan, keseluruhan dewan ini berjaya dipenuhi,” katanya.


Selain Shah Reza, Nik Radhi Nik Abdullah, penyanyi Danny X-factor dan pelakon Syed Aiman antara tulang belakang majlis tersebut.


Antara barisan penggiat seni terkenal hadir adalah Datuk Shafinaz, Datuk DJ Dave, Fasha Sandha, Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki, Penerbit, Datin Zaiton Mohd Jiwa, pereka fesyen, Rizman Ruzaini dan sebagainya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]