Bimbang ancaman banjir

in Edisi by


KULIM – Penduduk Kampung Sungai Tengas membantah aktiviti pembalakan dan kuari di Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu berhampiran kawasan mereka.


Penduduk, Md Isa Salleh, 58, berkata, aktiviti itu perlu dihalang kerana ia bakal membawa ancaman banjir seperti mana yang berlaku di kawasan sekitar Sungai Kob.


“Depa tak tarah lagi, tapi jalan-jalan untuk keluar masuk jentera di kawasan kami depa dah buat.


“Sebab tu kami kena bertindak awal, jangan sampai nasi sudah jadi bubur,” katanya.


Katanya, penduduk akan bertindak kepada mana-mana kerajaan yang cuba melakukan pembalakan di gunung tersebut.


“BN sebelum ini sudah empat kali cuba melakukan aktiviti pembalakan, tetapi penduduk lawan ikut cara yang betul sampai depa tak berjaya,” katanya.


Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Membantah Pembalakan di Gunung Bongsu, Ali Said, 66, berkata, sumber air di semua kampung di sekeliling gunung berkenaan bakal terjejas sekiranya aktiviti berkenaan diluluskan.


“Air Gunung Bongsu cukup cantik, tak perlu ditapis. Selain sumber daripada Syarikat Air Darul Aman (Sada), orang kampung bergantung kepada air tadahan gunung ni.


“Depa dah buat jalan ke kawasan balak, kayu-kayu hutan pun dah ditebang. Sebelum air tercemar, kita kena halang hasrat depa nak tebang pokok balak tu,” katanya.


Terdahulu, penduduk menyerahkan memorandum bantahan pembalakan di Gunung Bongsu kepada Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Orang Ramai Kampung Tengas, baru-baru ini.


Penduduk turut membuat bantahan aman di luar dewan.


Saifuddin berkata, tuntutan penduduk untuk hentikan operasi kuari dan pembalakan sangat jelas.


Katanya, bagi tuntutan kedua, penduduk memohon status Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu dikekalkan.


“Isu pembalakan timbul kerana untuk sampai ke kawasan kuari pokok balak perlu ditebang.


“Banjir di Sungai Kob baru-baru ini ialah kesan daripada kemusnahan hutan. Oleh kerana contoh di sebelah sana nampak, janganlah kita ulangi kesilapan” katanya.


Beliau berkata, maklumat awal bantahan penduduk juga telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika pertemuan dalam Mesyuarat Pakatan Harapan Council.


“Saya sebut dengan jelas supaya beliau dapat guna kedudukannya untuk teliti perkara ini dan buat keputusan.


“Oleh kerana perkara ini dalam bidang kuasa kerajaan negeri, saya harap perkara ini dapat dibawa ke tahap pembuat keputusan dan beri hasil kepada bantahan,” katanya.


Saifuddin berkata, beliau menghormati usaha penduduk yang membuat bantahan secara tertib dan tersusun.


“Mereka tubuhkan jawatankuasa bantahan, buat ulang kaji dan tahu hak-hak mereka,” katanya.


Sebelum ini, Gunung Bongsu berkenaan diwartakan berkeluasan 7,835 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal sebelum merdeka.


Namun, ia diubah sebahagian status hutan dan hak milik kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) pada 2009.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]