Fadiah didakwa buta hati

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Cadangan aktivis Pakatan Harapan, Fadiah Nadwa Fikri yang menggesa sistem beraja perlu dimansuhkan dan mendakwa monarki sudah lapuk disifatkan sebagai buta hati serta membelakangkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, artikel berkenaan bukan hanya memberi gambaran ingin merombak Rukun Negara serta Perlembagaan, bahkan secara keseluruhannya memalukan komuniti peguam berikutan aktivis berkenaan merupakan seorang peguam.


Menurutnya, artikel berkenaan membuktikan Fadiah seorang yang tidak faham akan fungsi dan peranan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub melalui Perlembagaan.


“Jangan bodohkan diri sendiri hanya kerana ingin memastikan perjuangan kamu itu menjadi realiti”.


“Kaji dan fahami dulu Perlembagaan sedia ada. Fadiah perlu lebih sensitif terhadap setiap individu di Negara ini. Jangan terlalu mudah memberi kenyataan membuta tuli terutamanya melibatkan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya melalui satu kenyataan.


Fadiah sebelum ini mengulas sekeping gambar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkok sambil mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar.


Ulasannya yang menyentuh mengenai sistem beraja itu dipetik dari kolum portal Malaysia Muda bertajuk ‘Jangan Engkau Cium Tangan Yang Memukulmu’ yang disiarkan semalam.


Irwan yang nyatanya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Fadiah berkenaan menasihatkan agar Fadiah menyimpan kenyataan itu.


“Sebab itu amat penting bagi semua rakyat Malaysia mengetahui berkenaan sumbangan serta peranan Raja-Raja Melayu di Negara ini.


“Apakah melalui kenyataan Fadiah ini bermaksud beliau mahu Rukun Negara dirombak semula dan Rukun Ke-2 iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara juga perlu dimansuhkan?” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]