Kompleks Al Barakah untuk dijual?

in Nasional by


IPOH – Sebahagian Kompleks Al Barakah yang sinonim diselia tokoh pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias kini ditawarkan untuk dijual melalui satu iklan laman sesawang Mudah.my, baru-baru ini.


Pendedahan terkini itu mengejutkan banyak pihak memandangkan Kompleks Al Barakah sememangnya dikenali sebagai pusat pengajian Islam dan tahfiz Al-Quran terkemuka diusahakan Mohd Kazim bagi melahirkan generasi Al-Quran masa depan.


Melalui iklan dimuatkan dalam Mudah.my sejak 7 Julai lalu, sebahagian kompleks itu yang dikenali sebagai Bangunan Tahfiz Darul Barakah di Manjoi, di sini yang berkeluasan 1.7 ekar ditawarkan untuk dijual dengan harga RM5 juta.


Berdasarkan butiran maklumat disertakan dalam iklan tersebut, bangunan tahfiz tersebut dilengkapi dengan tiga blok kuarters guru, enam bilik darjah, empat bilik dorm asrama, kantin, pondok pengawal, setor dan surau.


Sementara itu, Mohd Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim melalui kenyataan Facebooknya yang dimuat naik 4 Julai lalu memaklumkan Bangunan Tahfiz Darul Barakah menempatkan ratusan pelajar tahfiz dan sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.


Menurutnya, pihaknya memberikan alasan penjualan bangunan itu disebabkan ‘penat, uzur apatah lagi semakin sukar bergerak’ untuk menampung kos pengurusan institusi itu.


“Saya membinanya dengan nilai keselesaan, cantik dan sejuk mata memandang, sangat tinggi nilai halus kepada setiap pengunjungnya dan di sinilah tempat awal rakaman rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’ (rancangan disiarkan Astro).


“Namun, saya manusia biasa, berseorangan ke hulu ke hilir mencari sesuatu yang boleh menampung…penat, uzur apatah lagi semakin sukar bergerak menjadikan semuanya semakin terbatas.


“Memang tidak sanggup berpisah dengan sekolah ini, tetapi kalau berterusan begini maka perpisahan dan penutupan adalah jalan terbaik,” katanya.


Sementara itu, Ustaz Kazim sewaktu dihubungi menegaskan akan mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu di Pusat Pendidikan Al-Barakah pada 9.30 pagi esok.


“Buat masa ini, saya mengakui keputusan mengiklankan dan menjual Bangunan Tahfiz Darul Barakah adalah sahih.


“Esok pagi saya akan menjelaskan segala-galanya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]