Tunggu dan lihat, kata KPN

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Kita tunggu dan lihat dan kita akan beri maklum balas berhubung perkara itu,” demikian kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.


Beliau berkata demikian bagi mengulas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfailkan saman pemula terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.


Menurutnya, pihaknya bagaimanapun harus memberi maklum balas dahulu berhubung perkara itu.


Mengulas dakwaan Najib yang mendakwa serbuan yang dilakukan Amar Singh bersama pasukannya di beberapa premis milik beliau dan anaknya  dilakukan tidak memenuhi Prosedur Standard Operasi (SOP), Mohamad Fuzi berkata, itu adalah dakwaan Najib.


“Itu dia cakap, macam-macam dia boleh cakap. Biar nak cakap apa pun, kita kena ikut proses undang-undang. Kita tunggu sahaja,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Najib saman Tommy, Shukri dan Amar Singh]


Terdahulu, Najib turut memfailkan saman pemula terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.


Saman pemula secara sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan Najib selaku pemohon, bagi menuntut deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga mereka dalam penyiasatan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah prejudis terhadap beliau dan tidak sah.


Sementara itu, berhubung laporan sebuah portal tempatan yang melaporkan seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tiada permintaan daripadanya.


Adakah Rosmah telah buat permintaan untuk mendapatkan semula barang kemas yang dirampas itu, beliau berkata, masih belum.


“Perkara ini bukannya mudah, sebab ia ada kaitan dengan 1MDB. Kita juga telah semak setiap hari mengenai perkembangan kes itu,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]