Fuzi nafi terlibat dalam pemilihan MIC

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyangkal penglibatan beliau dalam pemilihan MIC yang dijangka berlangsung pada 29 Julai depan.


Beliau turut menafikan ada membalas pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada salah seorang ahli MIC seperti yang tular di laman sosial.


“Saya ingin tegaskan di sini semua dakwaan yang dibuat terhadap saya berkaitan pemilihan MIC adalah palsu.


“Saya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik dan kita telus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai badan beruniform, kecuali ada isu-isu yang melibatkan jenayah dan sebagainya” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-211, Bukit Aman di sini, hari ini.


Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.


Pada majlis itu, seramai 400 pegawai dan anggota polis hadir untuk menderma darah dan dalam rekod pada tahun lepas pihak polis berjaya menderma sebanyak 342 beg darah kepada Pusat Darah Negara.


Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad mencatatkan rekod tertinggi dengan menderma darah sebanyak 260 kali sejak tahun 1981.


Beberapa hari lalu, tular satu paparan skrin yang menunjukkan Mohammad Fuzi membalas mesej melalui WhatsApp kepada seorang ketua bahagian parti berkenaan. Dalam mesej itu, ketua bahagian berkenaan mendakwa orang kedua dalam parti itu menggunakan samseng untuk mengugut beberapa ketua bahagian agar memilihnya sebagai presiden parti.


Dalam perkembangan lain, polis percaya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan pulang ke negara dalam masa terdekat.


“Dia (Musa) yang berada di United Kingdom kini berada dalam senarai dikehendaki. Kita dan maklum dengan pihak berkuasa sana dan kini hanya sedang tunggu kepulangan beliau sahaja,” katanya.


Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, beliau berada di United Kingdom atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]