Jangan lupa manifesto PRU14

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) meluahkan rasa terkejut apabila peguam, Fadiah Nadwa Fikri disiasat kerana menghasut rentetan tulisannya yang menyentuh sistem monarki.


Memetik laporan Malay Mail, Suhakam dalam satu kenyataan turut mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan dengan janji mereka sebelum ini yang mahu meraikan kebebasan bersuara.


Pengarah Eksekutif sementaranya, Gwen Lee berkata Harapan perlu berpegang kepada manifesto PRU14 dijanjikan mereka yang antara lainnya turut menyelitkan pemansuhan Akta Hasutan.


[ARTIKEL BERKAITAN:  Peguam gesa mansuh sistem raja dipanggil polis]


[ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Fadiah berniat jahat menghasut: Perkasa]


“Ini adalah kes pertama aktivis dipanggil dan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia sejak Harapan memegang tampuk pemerintahan,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Suhakam turut menggesa kerajaan menghentikan siasatan semua kes di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Media sehingga kedua-dua akta itu dibentangkan di Parlimen, minggu depan.


“Kami juga terus dengan pendirian menggesa kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mansuh atau pinda undang-undang lain yang menghalang kebebasan bersuara.


“Ia termasuklah Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Penerbitan dan Percetakan untuk pastikan akta itu selari dengan standard antarabangsa,” ujarnya.


Aktivis Harapan, Fadiah menerima kecaman hebat apabila beliau secara terbuka mengatakan sistem monarki di Malaysia sudah lapuk.


Kenyataannya itu mendapat reaksi pelbagai pihak dan difahamkan, beliau diarahkan hadir ke balai polis untuk siasatan berhubung kenyataannya itu.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]