SPR akan adakan taklimat khas PRK Sg Kandis

in Nasional by


SINTOK – Semua petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis di Selangor akan dipanggil menghadiri taklimat khusus sebagai persediaan menghadapi PRK Dun itu yang ditetapkan pada 4 Ogos depan.


Pengarah Akademi Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Hasanul Isyraf Naim berkata, surat jemputan akan dikeluarkan selepas hari penamaan calon pada 21 julai ini kepada calon yang bertanding untuk mereka menghantar ejen-ejen serta petugas pada hari pengundian nanti.


SPR katanya, turut mengadakan simulasi khas bagi mendedahkan petugas berhubung situasi sebenar proses pengundian sehinggalah pengiraan undi di lokasi yang ditetapkan.


“Bagi pihak Akademi Pilihan Raya, kita telah merancang program latihan untuk petugas , ejen-ejen serta calon-calon parti politik yang ingin bertanding juga diberi taklimat khusus bagi menceritakan proses pilihan raya supaya mereka tahu apa yang patut dan tak patut dibuat.


“Kita harap ejen-ejen dan para petugas dapat hadir apabila dipanggil supaya mereka tahu dan dapat menjalankan tugas dengan penuh telus, lancar dan mengikut undang-undang. Ini termasuklah pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) ” katanya kepada Bernama selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri , di Sintok, hari ini.


Sementara itu, Hasanul Isyraf berharap pengundi di Dun Sungai Kandis keluar beramai-ramai menunaikan hak mereka untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat yang baharu.


Mengikut Daftar Pemilih Suku Pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu, jumlah pengundi yang akan mengundi membabitkan 51,230 pengundi berdaftar merangkumi 51,217 pengundi biasa dan 13 pengundi tidak hadir luar negara.


Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.


Mat Shuhaimi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU13 serta PRU14 selepas nama Dun itu ditukar kepada Sungai Kandis susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]