Tun Zaki Azmi dilantik Pro-canselor Usim

in Nasional by


NILAI – Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), berkuat kuasa 15 Julai ini.


Pusat Komunikasi Strategik Usim di sini hari ini menerusi kenyataan berkata Tun Zaki bukanlah tokoh asing kerana telah menyumbang pengalaman dan kepakarannya dalam pembangunan kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) sejak 2011 apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di fakulti itu.


Beliau turut menjadi panel penasihat program Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang sewaktu lawatan pengiktirafan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang pada November 2013 serta sering berkongsi idea melalui syarahan undang-undang kepada pelajar dan staf akademik FSU.


Menurut kenyataan itu lagi, beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman ketika Majlis Konvokesyen kali ke-13 Usim pada 2015, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada institusi kehakiman dan undang-undang.


Pengurusan Usim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan dan penghargaan kepada Tun Zaki atas pelantikan ini serta meyakini ketokohan beliau akan melonjakkan lagi nama dan kecemerlangan Usim.


Tun Zaki, lulusan undang-undang dari Lincoln’s Inn London dan Barrister-at-Law (1969) memulakan kerjaya di Jabatan Peguam Negara sebelum menyertai sebuah firma guaman terkemuka di Kuala Lumpur, 15 tahun kemudian.


Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2007 sebelum menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada tahun sama dan menjawat jawatan tertinggi sebagai Ketua Hakim Negara pada 21 Oktober 2008.


Dalam arena pendidikan tinggi, Tun Zaki adalah Canselor bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Mahsa serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Dengan pelantikan ini, Usim kini mempunyai dua Pro-Canselor iaitu Tun Zaki sendiri dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz.


Majlis pengisytiharan pelantikan Tun Zaki sebagai Pro-Canselor Usim dijangka akan disempurnakan Tunku Ampuan  Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor Usim pada November ini sempena Majlis Konvokesyen Usim ke-16. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]