Abim Kedah gesa tolak Syiah

in Edisi Utara by


YAN – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah melahirkan rasa bimbang terhadap kelantangan suara pihak bertentangan dengan aliran utama yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.


Yang Dipertua Abim, Zul Azri Mohd Sani berkata, suara tersebut secara khususnya antara lain mengetengahkan aliran Syiah di samping aliran pemikiran songsang yang lain semakin rancak diwacanakan secara terbuka selepas PRU14.


Katanya, keadaan ini adalah suatu yang sangat merisaukan kerana ia akan mencetuskan perbalahan untuk jangka masa panjang, sekali gus menjejaskan keharmonian kalangan umat Islam.


“Walaupun kerajaan secara rasmi tidak pernah mengiktiraf kepada aliran berkenaan, namun kerajaan perlu bersikap tegas dengan mengambil kira kesan terhadap persepsi bagaimana kerajaan baharu selepas PRU14 dapat menjamin kedaulatan Islam di negara ini,” katanya.


Menurut Zul Azri, rakyat sedang melihat dan menilai bagaimana kemampuan kerajaan menghadapi keadaan ini.


“Abim Kedah yakin pihak kerajaan juga pasti akan mengambil kira asas pembinaan negara dan perlembagaan yang meletakkan kepentingan Islam sebagai agama persekutuan.


“Pegangan Islam yang dianuti umat Islam di Malaysia umumnya ialah pegangan ahli sunnah wal jamaah,” tegasnya.


Zul Azri berkata, peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan perlu difahami sebagai membawa maksud Islam agama yang dianuti dan diamalkan majoriti rakyat dan juga diterapkan dalam pemerintahan.


“Dalam hal ini Abim Kedah ingin mengingatkan pihak kerajaan tentang keputusan yang dicapai di dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 yang memutuskan bahawa semua jenis aliran Syiah adalah menyeleweng dan dilarang daripada diamalkan dan disebarkan.


“Muzakarah juga menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah adalah diharamkan,” katanya.


Katanya, atas dasar itu, Abim Kedah menyeru agar pihak kerajaan dapat menghormati keputusan muzakarah yang mewakili suara majoriti rakyat yang berpegang kepada ajaran ahli sunnah wal jamaah.


Tambahnya, Abim Kedah juga menyeru kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya ke atas mana-mana provokasi yang boleh menggugat keharmonian dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat khususnya umat Islam.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]