Empat maut, 24 cedera dalam serangan bom di Pakistan

in Global by


ISLAMABAD – PAKISTAN. Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala 24 lagi cedera pada Jumaat dalam insiden letupan yang melanda konvoi seorang pemimpin parti politik di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.


Akhbar Dunya News melaporkan bahawa pemimpin parti politik Pakistan, Akram Khan Durrani, dalam perjalanan untuk menghadiri satu perhimpunan awam ketika konvoinya diserang di kawasan Bannu dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa.


Polis berkata Akram Khan berada kira-kira 50 kaki dari tapak perhimpunan ketika konvoinya diserang.


Bekas ketua menteri wilayah Khyber Pakhtunkhwa itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana beliau berada dalam kenderaan kalis bom.


Bagaimanapun, beberapa orang yang menaiki tiga kenderaan lain cedera dalam insiden itu.


Letupan itu dicetuskan oleh alat kawalan jauh.


Bahan letupan dipasang pada sebuah motosikal.


Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berhampiran dan lima daripada mereka dikatakan berada dalam keadaan kritikal.


Pemimpin politik di Pakistan kini sibuk mengadakan perhimpunan politik untuk pilihan raya umum pada 25 Julai.


Pada Selasa, satu letupan telah meragut 20 nyawa termasuk seorang pemimpin politik dan mencederakan berpuluh-puluh orang lagi di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]