Faiz gesa rakan kekalkan momentum kemenangan

in Sukan by


PULAU  Pinang mahu meneruskan momentum kemenangan apabila menerima kunjungan UiTM FC di Stadium Batu Kawan bagi aksi ke-16 Liga Perdana 2018 malam esok.


Tonggak utamanya, Faiz Subri berkata, momentum kemenangan 3-1 ke atas PDRM diikuti 2-1 ke atas Felcra FC perlu diteruskan untuk membantu Harimau Kumbang keluar dari kelompok bawahan.


Menurutnya, beliau berharap semua rakannya terus memberikan persembahan terbaik bagi mengelakkan mereka hilang mata selain hilang fokus pada perlawanan ini.


“Persaingan kini semakin sengit bagi kelompok bawahan yang mahu mengelak dari tersingkir (ke Piala FAM 2019) dan setakat ini Pulau Pinang mempamerkan keputusan positif sejak dua perlawanan lalu,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.


Faiz yang menjaringkan tiga gol pada dua perlawanan terdahulu berkata, barisan jentera serangan juga semakin baik dan berharap kehadiran penyerang import baharu, Chidi Edeh akan menambah ketajaman serangan pasukan tersebut.


Tambahnya, Chidi masih berusaha menyesuaikan diri dengan Pulau Pinang dan beliau percaya penyerang Nigeria itu akan mencapai persefahaman lebih baik selepas bersama dua minggu.


“Saya berharap dengan kehadiran beliau (Chidi) akan memantapkan lagi pasukan ini untuk menghadapi baki saingan empat perlawanan sahaja lagi,” katanya.


Pertembungan ini ibarat misi membalas dendam buat Harimau Kumbang apabila dikejutkan pasukan IPT tersebut 3-1 di Shah Alam pada perlawanan pembukaan 1 Februari lalu.


Pulau Pinang kini berada di tangga kesembilan liga berkongsi 18 mata sama dengan UKM FC di tangga kelapan dan UiTM FC di tangga ke-10 manakala Terengganu FC II pula berada di tangga ke-11 dengan memungut 17 mata.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]