Isu nelayan asing mesti diselesaikan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Terengganu mahu isu pencerobohan nelayan asing dan bot pukat tunda di zon tangkapan nelayan pantai diselesaikan segera kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkara, perkara itu antara isu yang dibangkitkan beliau dalam mesyuarat bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, semalam.


“Masalah lapuk yang telah berlarutan sejak sekian lama mesti dicari puncanya sehingga ke lubuk mana sekalipun. Kita tak mahu lagi dengar alasan.


“Bot nelayan asing dan bot pukat tunda itu besar saiznya. Mereka bukannya guna bot enjin sangkut. Saya yakin bot itu tak ada kuasa ghaib yang boleh mengaburi pandangan penguat kuasa undang-undang.


“Kalau kata mereka beroperasi waktu malam, takkan kapal APMM atau Polis Marin tak ada lampu. Nelayan kita sampai boleh tangkap gambar bot yang menceroboh,” katanya dalam satu kenyataan.


Sebagai usaha menyelesaikan masalah itu kata Azman, satu pasukan petugas yang menggabungkan beberapa kementerian, jabatan dan agensi mesti dibentuk bagi menyiasat dan mencari punca pencerobohan terus berlaku.


Jika masih gagal katanya, penubuhan suruhanjaya khas seperti Suruhanjaya Diraja mungkin boleh dilaksanakan sebagai gambaran keseriusan kerajaan membantu nelayan tempatan.


“Nelayan kita sudah terlalu letih dan penat dengan isu ini. Saya dah tak sanggup melihat mereka menitis air mata di depan kita bila meluahkan perasaan menyentuh isu ini.


“Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, saya telah memberikan janji komitmen untuk membincangkan isu ini secara serius dengan Kerajaan Pusat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]