Jangan hantar pulang etnik Uighur

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Biro Antarabangsa Amanah berharap kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menyekat penghantaran semula etnik Uighur yang ditahan di sini ke China bagi menjamin keselamatan kumpulan berkenaan.


Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, selain menyekat penghantaran semula Uighur, Malaysia juga patut bersuara bagi menegakkan hak saudara minoriti muslim di daerah Xinxiang yang telah ditindas.


“Jika Malaysia mampu menyekat penghantaran semula Dr Zakir Naik ke India kerana risau akan pendakwaan ke atas beliau, penghantaran semula etnik Uighur kepada kerajaan China adalah ibarat kita sendiri menghukum mereka dengan hukuman yang sebegitu berat,” katanya dalam satu kenyataan.


Pada 25 Julai ini, 11 etnik Uighur yang ditahan di Malaysia kerana memasuki negara ini secara haram akan dihadapkan ke mahkamah Malaysia dan berkemungkinan akan diekstradisi kembali ke China, di mana mereka akan berdepan dengan dakwaan tertentu termasuk mungkin dijatuhkan hukuman mati.


Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan dengan lebih teliti pendakwaan yang bakal dikenakan kepada etnik Uighur  jika mereka dihantar pulang ke China.


“Kini telah tiba masa untuk Malaysia menyuarakan pendirian kita yang teguh terhadap isu-isu melibatkan penindasan agama dan politik terhadap kumpulan-kumpulan minoriti di seluruh dunia.


“Kita perlu menaikkan semula martabat negara kita selaku sebuah negara berdaulat yang berkecuali sepertimana kita telah dipandang tinggi dahulu, untuk menentang kuasa-kuasa besar dunia yang telah menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya.


Menurut Raja Bahrin,  muslim Uighur di China telah lama didiskriminasikan sehingga pelbagai sekatan dikenakan ke atas mereka yang mengamalkan ajaran Islam seperti berpuasa, solat, sunat menyimpan janggut dan menghadiri kelas agama bagi kanak-kanak.


Beliau berkata, nasib malang dan penderitaan masyarakat Muslim Uighur adalah sebuah rahsia terbuka yang telah diketahui ramai namun pengaruh ekonomi dan ketenteraan China yang  pesat berkembang telah membuatkan  dunia memilih memejamkan mata dan menganggap tragedi terbabit tidak pernah wujud.


“Begitulah analogi bagaimana tindakan kerajaan Malaysia terdahulu di bawah pentadbiran Najib Razak ke atas penderitaan kaum Uighur yang ditindas China. Pengaruh ekonomi China yang terlalu kuat, peluang pinjaman kewangan yang lumayan serta peluang pelaburan telah mengaburi mata kerajaan yang terdahulu.


“Hampir setiap kontrak berkeuntungan besar telah diserahkan kepada China, sehingga tangisan kaum minoriti Muslim Uighur yang telah lama menderita itu telah ditenggelami oleh nilai wang dari China.


“Kami berharap dan kami percaya bahawa kerajaan Malaysia yang baharu kini akan lebih prihatin serta peka terhadap etnik Uighur lebih-lebih lagi Tun Mahathir sendiri telah dikenali sebagai seorang tokoh yang lantang dan menjuarai suara saudara Muslim yang telah ditindas dan dipinggirkan di peringkat antarabangsa,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]