Khalid tekankan 3 prinsip dalam menyampaikan perkhidmatan

in Nasional by


LABUAN – Menteri Wilayah  Khalid Abd Samad hari ini menegaskan  tentang  tiga perinsip yang perlu diberi fokus oleh semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi dalam melaksanakan  sistem penyampaian kerajaan bagi memastikan Labuan menikmati kemajuan lebih pesat.


Prinsip pertama kata beliau ialah semua ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pasukan pengurusan Perbadanan Labuan perlu memberi sokongan penuh terhadap usaha membangunkan Labuan agar pulau  bebas cukai ini mencapai wawasannya menjadi sebuah wilayah persekutuan yang berkembang maju.


Prinsip kedua ialah memastikan tidak lagi wujud  politiking  dalam pentadbiran kerajaan dan prinsip ketiga ialah memastikan wujudnya toleransi sifar terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam apa jua bentuk  berkaitan pentadbiran kerajaan, katanya pada sidang  akhbar selepas  menghadiri taklimat tentang pembangunan Labuan dan majlis perjumpaan  dengan para ketua jabatan dan agensi kerajaan di sini hari ini.


Menyentuh tentang politik, kata Khalid, “setiap seorang daripada kita mempunyai hak untuk memilih parti politik yang kita suka, tetapi kita perlu tinggalkan politiking di pintu pejabat masing-masing apabila kita memasukinya  untuk memulakan tugas sebagai penjawat awam”.


Berhubung toleransi sifar terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa, beliau berkata: “Kerajaan yang baru dibentuk ini dipilih rakyat dengan mesej jelas iaitu mereka mahu melihat wujudnya pentadbiran kerajaan yang telus dan bersih, tanpa terdapat unsur rasuah yang memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan rakyat.”


“Saya  telah tegaskan bahawa  tiga prinsip ini perlu diterima dan dipersetujui semua ketua badan kerajaan di sini. Sekiranya semua boleh bersetuju, akan  tiada lagilah isu tentang pentadbiran kerajaan dan dalam  usaha  memajukan Labuan.


Saya  bukan berasal dari Labuan, tetapi saya komited untuk melihat  Wilayah Persekutuan  Labuan maju, sekali gus menghapuskan persepsi bahawa Labuan dipinggirkan, walaupun pada masa mula-mula dinaikkan tarafnya dahulu  (sebagai wilayah persekutuan), begitu meriah keadaannya, tetapi pembangunannya tidak setara  dan tidak seperti apa yang telah dirancang,” kata beliau.


Khalid berkata beberapa ketua jabatan dan agensi menyuarakan pelbagai isu berkaitan pembangunan semasa pertemuan mereka dengan beliau.


“Saya dengar semua isu yang disuarakan itu dan saya harap mereka akan kemukakannya berserta syor tentang cara untuk menyelesaikannya,” kata Khalid.


Beliau berkata Labuan perlu mengurangkan pergantungannya terhadap sektor minyak dan gas untuk terus memacu ekonominya serta mewujudkan sektor baharu ekonomi sebagai tonggak ekonomi pulau ini.


Ditanya tentang kemungkinan struktur agensi di bawah kementerian itu akan disusun  semula, Khalid berkata perkara itu akan dilakukan sekiranya wujud keperluan.


“Pasa masa ini, tiada keputusan  dibuat tentang penyusunan semula, tetapi, apa yang penting ialah pelantikan perlu dibuat berdasarkan merit. Jika adat pelantikan yang dibuat berdasarkan pertimbangan politik semata-mata dan mereka tidak dapat memberi sumbangan bermakna kepada Perbadanan Labuan atau agensi lain, sudah tentulah mereka perlu berundur.


“Setiap pelantikan perlulah dibuat berserta objektif yang jelas. Tidak boleh ada lagi politiking yang ketara sebagai suatu ganjaran seperti hadiah yang semata-mata untuk mendapatkan sokongan. Kami  mahu wujudnya pendekatan secara profesional dalam  pentadbiran pihak berkuasa tempatan,” kata beliau. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]