Maskot baharu Perak dicari

in Uncategorized by


IPOH – Seladang yang sinonim dijadikan maskot negeri Perak bakal mempunyai ‘teman’ apabila kerajaan negeri melalui Tourism Perak mencari mereka yang berbakat untuk mencipta maskot baharu.


Pertandingan mereka dan mencipta maskot wow Perak itu sebagai persediaan awal kerajaan negeri menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2019.


Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya percaya, ramai kalangan rakyat negara ini mempunyai daya kreativiti tinggi untuk menzahirkan idea mereka dalam bentuk pertandingan seumpama ini.


“Perak tidak hanya terkenal dengan seladang, kita punya banyak produk menarik yang lain seperti beruang matahari, burung enggang dan orang hutan, jadi kita ambil pendekatan untuk tidak mahu menyekat kreativiti ini.


“Dengan maskot baru ini, kita berharap dapat melakar satu imej dan nafas baru buat industri pelancongan Perak,” katanya.


Pertandingan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu telah bermula hari ini hingga tarikh tutup penyertaan pada 15 Ogos depan.


Borang penyertaan boleh dimuat turun dari laman web Tourism Perak.


Hadiah utama RM5,000 beserta sijil penghargaan serta lima hadiah saguhati berupa wang RM1,000 menanti pemenang terpilih.


Selain pasukan Bola Sepak Perak, seladang juga dijadikan maskot bagi Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]