Pelantikan hakim berdasarkan merit

in Nasional by


PUTRAJAYA – Pelantikan ketiga-tiga anggota tertinggi badan kehakiman adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka tanpa dipengaruhi sentimen politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.


Beliau berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan sebarang desakan  dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah tetapi sebaliknya ia dibuat berdasarkan kepada merit.


“Saya tidak akan benarkan mana-mana pelantikan mengikut pintu belakang (tidak mengikut merit),” kata Liew yang bertanggungjawab kepada undang-undang dalam satu kenyataan mengenai pelantikan tokoh kehakiman terbabit.


Liew berkata pelantikan ketiga-tiga tokoh kehakiman telah diluluskan semasa persidangan Majlis Raja-Raja dan menyokong kepada janji kerajaan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan perundangan negara.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pengiktirafan komitmen tegakkan undang-undang]


“Pelantikan itu petanda kepada era baru sistem kehakiman. Malah ini adalah saat yang membanggakan kepada Malaysia Baharu,” katanya sambil menambah pelantikan itu mencatatkan era baru dalam sejarah badan kehakiman Malaysia.


Malanjum, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu di Istana Negara pada Rabu lalu selepas menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.


Semasa majlis tersebut, baginda turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahmad dan Wong. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]