Penganjur akui cuai, salah hidang daging babi

in Nasional by


MELAKA TENGAH – Persatuan Perlindungan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (APDAM), hari ini, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengamal media dan seluruh rakyat beragama Islam dan Hindu negara ini berkaitan isu hidang babi.


Presidennya, Datuk Dr Clinton Chai berkata, pihaknya mengakui isu berkenaan terjadi disebabkan kecuaian dan kesalahan pihak beliau sendiri, namun bukanlah sesuatu yang disengajakan.


“Saya ingin mohon maaf kepada wartawan muslim dan Hindu yang terlibat l,lperkara perkara ini merupakan satu kecuaian dan kesalahan dari pihak kami.


“Memang sejujurnya kami tidak meminta perkara ini berlaku dan ini juga menjadi satu pengajaran bagi pihak kami, selepas ini untuk lebih prihatin,” katanya ketika sidang media di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), tadi.


Setiausaha APDAM, Chai Siong Siew berkata, kecuaian itu timbul apabila pihaknya hanya menerima maklum balas dari tiga agensi berbahasa Cina mengenai kehadiran pada majlis anugerah itu.


“Kami minta maaf, kerana kami hanya menerima jawapan kehadiran daripada tiga agensi sahaja, dan tidak menyangkakan ada wakil media yang beragama Islam dan Hindu,” katanya.


Hadir sama, Yang Dipertua Kelab Mediamassa Melaka (KEMM), Samat Majid dan Presiden Persatuan Wartawan Melaka (MJA) Chong Kion Sin.


Semalam, Sinar Harian menyiarkan mengenai rasa terkilan dan kecewa yang diluahkan oleh pengamal media beragama Islam dan Hindu mengenai hidangan babi oleh pihak penganjur ketika Majlis Makan Malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong pada Rabu lalu.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]